fb fb fb fb fb

Empat universiti bergabung kaji pedagogi pendidikan STREAM

Majlis MoU “1 + 3 Geran Sepadan” antara UPSI, Universiti Antarabangsa UNITAR, Universiti SEGI dan UiTM/Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 25 Oktober- Dalam usaha memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi, pembacaan, kejuruteraan, seni dan matematik (STREAM), satu memorandum persefahaman (MoU) “1 + 3 Geran Sepadan” dimeterai antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Antarabangsa UNITAR, Universiti SEGI dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

UPSI dalam kenyataan berkata majlis MoU yang berlangsung di UNITAR itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff, Naib Canselor UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti SEGI, Prof. Dr Azrin Esmady Ariffin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ts. Roziah Mohd Janor.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata menerusi MoU tersebut, geran sepadan bernilai RM80,000 akan memfokus kepada kajian yang bertajuk “Memanusiakan Pedagogi dalam Talian Melalui Integrasi Pendidikan STREAM di Universiti-universiti Malaysia bagi Perkhidmatan Teknikal Pengkomputeran”.

"Kumpulan penyelidik UPSI dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terdiri daripada Prof. Dr Che Zalina Zulkifli, Dr Nor Asiah Mohamad @ Razak, Dr Yusri Abdullah, Dr Suliana Sulaiman dan Hasnatul Nazuha Hassan.

"Mereka akan melaksanakan kajian terhadap pelajar dari bidang kejuruteraan perisian, teknologi maklumat, sains komputer, reka bentuk dan teknologi serta permainan digital", katanya.

Beliau berkata kumpulan penyelidik UNITAR akan menumpukan kepada pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Teknologi Maklumat (MIT), sementara penyelidik SEGI kepada pelajar bidang kesihatan dan sosial.

Penyelidik dari UiTM pula akan menumpukan kepada pelajar dalam bidang pendidikan.

"Pelaksanaan kajian dua tahun ini dijangka menyumbang kepada aspek kualiti pedagogi pendidikan STREAM dalam talian, sekali gus memberi impak kepada kemenjadian pelajar dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi maklumat.

"Ianya bertepatan dengan hasrat UPSI sebagai peneraju bidang pendidikan di Malaysia.

Dapatan kajian ini juga akan dijadikan panduan bagi pembinaan Modul STREAM selaras dengan Pembelajaran Abad 21.

ROSLINA BINTI DIN