fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim kurnia sumbangan beras kepada asnaf di ibu negara

Penerima sumbangan beras daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi 25,000 kampit beras, seberat 10 kilogram setiap satu kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di ibu negara sepanjang Ramadan.

Ia membantu meringankan beban serta menampung keperluan harian untuk seisi keluarga.

Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata kurniaan itu merupakan cetusan Sultan Ibrahim yang prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan ditambah dengan keadaan ekonomi tidak menentu serta kenaikan harga barang ketika ini.

"Walaupun kita nampak kecil, saya fikir ia begitu bermakna kepada mereka yang dalam kesusahan, keadaan mungkin berlaku kenaikan harga beras. Jadi sumbangan makanan ruji ini sekurang-kurangnya dapat membantu khususnya dalam bulan Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Fauzi Abidin dan Pengerusi Masjid Saidina Hamzah Zulkarnain Umar.

Sementara itu seorang penerima Sarimah Nordin mengucapkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima.

"Terima kasih kepada Tuanku, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan lagi rezeki Tuanku.

"Pemberian ini dapatlah menampung saya. Lega sangat, terima kasih," katanya.

Bagi Nor Azilah Sahbari, pemberian itu disifatkan meringankan beban keluarganya.

"Dengan pemberian beras 10 kilogram ini saya bersyukur sangat, dengan keadaan suami saya yang sakit dan tidak sihat.

"Jadi saya sahaja yang bekerja. Alhamdulillah, sumbangan ini memang meringankan beban saya. Terima kasih Tuanku, semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI