SHAH ALAM, 18 Oktober- Sukatan pelajaran atau silibus yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kitaran dan penilaian untuk melihat keberkesanannya dibuat selepas selesai jangka masa yang ditetapkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, penghasilan sesuatu silibus memerlukan kajian dan penelitian yang melibatkan pandangan pakar, guru dan ibu bapa.
"Kalau silibus kerap ditukar, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran, kalau setiap tahun hendak ditukar contoh. Jadi apabila selesai satu pusingan, maka penilaian akan dibuat untuk melihat keberkesanan silibus tersebut", katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di sini.
(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin)
"Jadi silibus 2017 ini selesai pada tahun ini untuk sekolah rendah, manakala untuk sekolah menengah selesai pada tahun lepas.
Beliau mengulas isu membabitkan sukatan pelajaran Matematik yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan murid untuk memahami dan menguasainya.
Jelasnya, silibus yang digunakan di sekolah ketika ini bukan baharu dibangunkan oleh KPM, sebaliknya sudah diguna pakai sejak 2017.