fb fb fb fb fb

ASA 2022: Terima penyertaan tertinggi, julung kali tawar hadiah wang tunai

PUTRAJAYA, 18 Oktober- Sebanyak 1,354 daripada 1,586 penyertaan yang dikemukakan untuk ASA 2022 diterima menepati syarat-syarat yang ditetapkan bagi pencalonan Anugerah Seri Angkasa (ASA 2022) yang akan berlangsung 29 dan 30 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, penyertaan kali ini merupakan rekod tertinggi yang diterima sejak ASA diperkenalkan.

"Alhamdulillah ASA 2022 menerima sambutan yang hebat dengan lebih daripada 1500 penyertaan bagi kategori yang cukup banyak pada kali ini melebihi 70 kategori.

Katanya, daripada jumlah pencalonan yang telah menepati syarat itu, sebanyak 1,035 pencalonanan adalah bagi Kategori Televisyen, 276 Kategori Radio dan 43 untuk Kategori Media Baharu.

"Kita adakan dua malam berturut-turut kerana tidak boleh dihabiskan dalam satu malam, kategori yang diwujudkan itu untuk memberikan penghargaan kepada semua penggiat industri penyiaran baik radio, tv, dan juga media baharu, satu pembaharuan berbanding dengan ASA terdahulu," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini.

Annuar berkata, ASA 2022 juga akan diadakan secara gilang-gemilang kerana amat dinantikan oleh pemain industri.

"Kita mahu anugerah ini diadakan secara gilang-gemilang biar sama macam Festival Filem Cannes.

“Biar ada karpet merah, biar anugerah ini nampak glamor dan industri kita hebat,” katanya.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Ketua
Setiausaha (KSU K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek pada sidang
media Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022)


Mengulas lanjut, Annuar berkata, salah satu keistimewaan penganjuran ASA 2022 ialah para pemenang bukan sahaja membawa pulang trofi tetapi juga buat julung kalinya mereka akan menerima hadiah berbentuk wang tunai bagi setiap kategori yang dimenangi. 

Antara stesen media yang menyertai pencalonan ASA 2022 ialah Alhijrah Media Corporation, Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Seramai 55 juri dan dua juruaudit terdiri daripada pemain industri yang berpengalaman luas dalam industri akan menilai kesemua pencalonan dengan adil dan telus,” katanya.

"Tokoh Anugerah Seri Angkasa 2022 dan Tokoh Anugerah Khas Juri masing-masing akan turut diberikan hadiah berupa wang tunai, katanya.

Dua pemenang kategori utama iaitu Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik juga akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) masing-masing sebanyak RM200,000 dan RM150,000. 

(Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak
Anugerah Seri Angkasa 2022)

Media Baharu