fb fb fb fb fb

Suami isteri parah, pokok tumbang hempap motosikal

Motosikal dinaiki mangsa dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini awal pagi tadi.

KANGAR, 23 Jun- Sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Baeyah Abdul Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, patah tulang paha kanan manakala isterinya Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan manakala bayi dalam kandungan berusia lima bulan meninggal dunia.

“Ketika itu motosikal yang ditunggang oleh isteri manakala suami menjadi pembonceng dari kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat hendak balik ke rumah di Kampung Sungai Bugis.

“Sampai di lokasi kejadian, sebatang pokok telah tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka. Pokok tumbang ini berlaku dalam kejadian ribut awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baeyah memaklumkan kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata terdapat 31 kes pokok tumbang setakat 10 pagi tadi yang dikendalikan pihak APM Perlis berikutan kejadian ribut yang mula berlaku kira-kira 2 pagi tadi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI