JOHOR BAHRU, 23 Jun- Sebanyak RM272.6 juta peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah disalurkan ke negeri Johor sejak Januari hingga Mei tahun ini, memanfaatkan 13,091 usahawan.
Daripada jumlah itu, RM81.5 juta diberikan kepada 10,672 usahawan Sahabat Ikhtiar Malaysia (AIM) dan RM41.8 juta kepada 2,083 usahawan TEKUN Nasional.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata RM57.3 juta pula disumbang Bank Rakyat kepada 297 usahawan, RM91.4 juta disumbang SME Bank kepada 37 usahawan dan RM660,000 disumbang PERNAS, kepada dua syarikat.
Sehingga kini, terdapat lebih 60,000 usahawan berdaftar dengan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).
KUSKOP juga komited meneruskan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan inklusif kepada perusahaan SDSI dan usahawan setempat.
"Berhubung SDSI ini, kita telah menetapkan sasaran awal nilai jualan sebanyak RM300,000 untuk jualan tunai."
"Di Sabah, Perak dan Johor pada hari ini, kita telah mencapai sasaran yang kita inginkan, dengan nilai jualan tunai RM1.13 juta. Selain itu, jumlah potensi pembiayaan telah dijana, 23.9 juta," kata Ewon kepada pemberita semasa Showcase SDSI Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024 di sini, hari ini.
Program itu disertai 30 usahawan dari Johor dan Melaka dan 30 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Tahun lalu, KUSKOP telah menyalurkan RM771.4 juta kepada usahawan dan koperasi di Johor.
Semasa program itu, KUSKOP menyampaikan cek daripada empat agensi KUSKOP, berjumlah RM25.7 juta kepada usahawan yang layak.