(Nur Syafiqah Rosli (depan) dan Noor Aliff Ridzwan Zakaria (belakang)
dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan)
KUANTAN, 25 Mei- Suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua anaknya di sebuah rumah di Bukit Rangin di sini pada Januari lalu.
Tertuduh, Noor Aliff Ridzwan Zakaria, 29 dan Nur Syafiqah Rosli, 28, masing-masing bapa tiri dan ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Nor Aliff Ridwan dan Nur Syafiqah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun didakwa melakukan penganiayaan yang menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan tidak boleh menghampiri mangsa yang kini berada di bawah jagaan nenek mereka sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mat Taib dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh lelaki bekerja sebagai pemandu lori yang berpendapatan RM2,500 sebulan, manakala isterinya pula tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 4 Julai depan.
(Nur Syafiqah Rosli (depan) dan Noor Aliff Ridzwan Zakaria (belakang)
dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan)