fb fb fb fb fb

Suami isteri didakwa memegang pasport pekerja warga asing tanpa kuasa sah

IPOH, 5 April - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas dua pertuduhan iaitu memegang pasport pekerja warga asing tanpa kuasa yang sah dan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah.

Chang Cheong Chin, 51 dan Niarini Situmorang 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S.Punitha.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dua tertuduh didakwa memiliki empat pasport warga Indonesia tanpa kebenaran yang sah di nombor 20, Hala Pulai Jaya 7 Bandar Pulai Jaya, Ipoh pada pukul 10.15 pagi, 30 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 15) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memberi pinjam wang tanpa lesen kepada dua wanita warga Indonesia.

(FOTO HIASAN)

Mereka didakwa atas kesalahan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah dengan memberi pinjam wang kepada Fatimawati Hilmi dan Lisma.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua tertuduh dibenar ikat jamin sebanyak 12,000 setiap orang dengan seorang penjamin berasingan. 

Hakim menetapkan 24 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media Baharu