fb fb fb fb fb

Strategi keselamatan menyeluruh diterap, diamalkan dalam tadbir urus negara- PM

(Foto FB Jabatan Perdana Menteri)

PUTRAJAYA, 19 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar seluruh jentera kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan bagi memastikan strategi keselamatan menyeluruh dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara.

Tegasnya, sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera.

Jelasnya, Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat, untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan.


(Perdana Menteri berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022
di Putrajaya/FB JPM)

"Latih Amal ini perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta penglibatan pihak swasta.

"Malah, perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti. Setiap agensi kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera.

"Bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan", katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Putrajaya.

Tambahnya budaya kesukarelawanan perlu terus disemai dan dipupuk sebagai satu pendekatan memastikan komuniti mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang.

Komuniti juga harus bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

Bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti, kerajaan akan memperkenalkan konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM).

Media Baharu