fb fb fb fb fb

Status Tanah Rizab Melayu di Perak tunjuk trend meningkat

(Foto hiasan)

IPOH, 30 Mac- Perak sentiasa berusaha sedaya upaya menambah Tanah Rizab Melayu bagi memastikan nisbah 50% keluasan yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu dapat dicapai.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pada tahun 2021 saiz tanah rizab di negeri ini berkeluasan 953,042.67 hektar, manakala tahun berikutnya meningkat kepada 953,075.79 hektar.

Pada masa ini, Pejabat Tanah Galian (PTG) dalam proses mewartakan tanah rizab seluas 996.04 hektar yang akan diberi hak milik kepada Majlis Agama Islam Negeri Perak.
 
"Daripada jumlah data yang dikumpul dari tahun 1987, status Tanah Rizab Melayu di negeri Perak menunjukkan trend meningkat. Saya tak pasti bagaimana dalam jawapan itu dikatakan kita antara negeri yang berlaku proses penurunan sebab kita dari semasa ke semasa dalam mesyuarat exco kita sentiasa meluluskan keluasan tertentu untuk menambah bilangan Tanah Rizab Melayu.

"Walaubagaimanapun jika terdapat keluasan tanah-tanah tertentu yang terpaksa dibatalkan status Rizab Melayu kerana pembangunan, bukan sengaja sewenang-wenang kita nak batal, " kata Saarani ketika menghadiri Program Edaran Bubur Lambuk anjuran GLC Negeri dan Pengakap Malaysia di sini.

(Datuk Seri Saarani berkata status Tanah Rizab Melayu di Perak tunjuk trend meningkat)

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa selain Kedah dan Kuala Lumpur, Perak turut mencatatkan penurunan keluasan kawasan pewartaan Tanah Rizab Melayu.
 
Data itu berdasarkan kutipan data daripada Pihak Berkuasa Negeri di Semenanjung Malaysia.

 


 

Media Baharu