fb fb fb fb fb

Operasi enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling diberhentikan

KUALA LUMPUR, 30 Mac 2023 – Operasi perkhidmatan LRT di enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan diberhentikan bermula 2 April 2023.

Ia melibatkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

Rapid Rail menerusi kenyataan berkata tren yang digunakan untuk perkhidmatan di antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian yang telah ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

"Ianya adalah susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang  untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan semenjak 27 Januari 2023.

Sehubungan itu, bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang yang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan Bas Ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas LRT 11 sedia ada.

"Laluan perkhidmatan bas ini akan meliputi:

a) Bas LRT 11 : LRT Masjid Jamek – LRT Bandaraya – LRT PWTC –LRT Titiwangsa – LRT Sentul – LRT Sentul Timur
b) Bas Ekspres LRT 13 : LRT Masjid Jamek – LRT Sentul – LRT Sentul Timur
c) Bas Ekspres LRT 14 : LRT Masjid Jamek – LRT Titiwangsa

"Perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan jumlah bas sebanyak 40 buah dan kekerapan antara 10-15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa", menurut kenyataan itu.


(Operasi enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling
diberhentikan bermula 2 April 2023)

Dalam pada itu, bermula 2 April 2023 juga, perkhidmatan bas LRT 9 (LRT Hang Tuah – LRT Bandaraya) dan bas LRT 10 (LRT Masjid Jamek – LRT Bandaraya) akan ditamatkan.

"Penumpang-penumpang juga disarankan menggunakan laluan rel alternatif di mana penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.

"Manakala penumpang yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.

"Rapid Rail memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang-penumpang.

"Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang-penumpang", menurut kenyataan itu.

Media Baharu