KUALA LUMPUR, 30 Mac- Perluasan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka disambut sambut baik.
Namun skim yang ditambah baik kerajaan dalam belanjawan kali ini diharap selari dengan kemampuan dan tawaran harga rumah pada masa kini.
Menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj, golongan B40 dan M40 perlu membuat pilihan rumah mampu milik.
"Kita setuju dan sokong penuh usaha kerajaan membantu rakyat. Rumah adalah hak dan keperluan asas pengguna. Apa yang kita bimbang dari segi kos perumahan. Hasil kajian Khazanah dan Bank Negara didapati harga rumah adalah jauh lebih tinggi daripada pendapatan pengguna," kata beliau.
(Datuk Paul Selva berkata perluasan SJKP merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap
dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka disambut sambut baik)
"Walaupun kerajaan sediakan kredit, tetapi kerajaan juga harus kawal dari segi harga rumah. Jika harga itu ditetapkan oleh kerajaan sebagai contoh projek perumahan kerajaan bagus.
"Tapi jika swasta pun oleh kerana pada masa dulu harga rumah terlalu tinggi, pastinya jika swasta mereka hendak orang beli dan dan tidak kira sangat sama ada berkemampuan. Jika ada bantuan seperti ini, maka pengguna sendiri kena menilailah. Kerajaan juga pastikan harga rumah adalah terkawal, dan dibina untuk golongan B40 dan M40," tambah Datuk Paul.
Bagi pekerja sektor ekonomi gig pula, usaha memperluas bantuan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap amat-amat melegakan dan memudahkan mereka untuk memiliki rumah.
"Dengan wujudnya skim ini proses pengumpulan dokumen sampai kelulusan menjadi mudah sebab semua sudah faham skim jaminan kredit perumahan ini.
"Untuk membantu pekerja gig seperti kami yang sebelum ini tak mampu nak beli rumah untuk membeli rumah, jadi dengan adanya skim ni impian kami untuk beli rumah akan tercapai," kata pekerja ekonomi gig, Ikram Latif.