fb fb fb fb fb

Status negara tua menjelang 2030, perlu satu rangka tindakan yang menyeluruh

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Ke arah status negara tua menjelang 2030, satu rangka tindakan nasional yang komprehensif perlu disediakan dari segi ekonomi terutama aspek penyediaan kemudahan dan kepakaran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pelan tindakan tersebut bukan hanya di peringkat Kementerian, malah melibatkan semua sektor kerajaan yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendapatan, simpanan, perumahan dan sara hidup golongan warga emas.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Kerajaan yang baharu dibentuk nanti perlu ada blue print yang menyeluruh. Sekarang ini ada, tetapi saya melihat ia tidak mencukupi dan lebih pada blue print yang baru ini lebih kepada iltizam untuk dibuat pelaburan supaya daripada sekarang kita buat pelaburan untuk kita membuat persediaan untuk melatih pekerja-pekerja atau pakar-pakar yang diperlukan untuk menjaga kesihatan dan kebajikan kesejahteraan warga menua", katanya selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas 2022 peringkat kebangsaan di ibu negara.

Melalui projek rintis Penjagaan Kesihatan Bersepadu yang dilaksanakan pada 2019, perkhidmatannya akan diperluas kepada lebih banyak klinik kesihatan di bawah KKM. Ini sekali gus mampu mengurangkan kesesakan pesakit yang menerima rawatan di unit geriatrik yang sebelum ini hanya terdapat di beberapa hospital dan klinik kesihatan di negara ini.

Setakat ini, unit geriatrik Hospital Kuala Lumpur menerima 17,540 kes pesakit setiap tahun.

Mengulas mengenai kekurangan pakar dalam bidang geriatrik, beliau menjelaskan KKM kini sedang mengenal pasti doktor yang berkemahiran dan menunjukkan minat ke arah sub kepakaran geriatrik untuk diberi bimbingan.

KKM turut melihat laluan kerjaya pakar geriatrik yang lebih banyak akan diwujudkan sebagai dorongan menceburi bidang tersebut.

Media Baharu