fb fb fb fb fb

Status halal daging kultur bakal diteliti Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Status halal dan hukum memakan daging kultur akan diteliti dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan termasuk perbincangan di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata sebelum sebarang fatwa dan keputusan dikeluarkan, isu tersebut akan dimasukkan dalam perbincangan bersama Fiqh Akademi di Jeddah.

"Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan telah berbincang isu tersebut baru-baru ini. Kita akan adakan perbincangan dengan Fiqh Akademi di Jeddah perbincangan berkaitan daging kultur ini akan dimasukkan dalam perbincangan itu supaya nanti fatwa atau keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Kebangsaan ini lebih teliti diperhalusi dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Jubli Emas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.

Mohd Na’im mengulas isu tersebut susulan kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang mendapati daging kultur secara amnya halal untuk dimakan oleh orang Islam sekiranya memenuhi syarat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN