LONDON, 16 Januari- Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini memerlukan negara itu untuk mendapatkan pelaburan yang besar termasuk daripada syarikat-syarikat Asia.
Malah Perdana Menteri Britian, Keir Starmer juga mengalu-alukan pelaburan dari negara-negara Asia terutama Malaysia.
"UK memerlukan pelabur luar negara, seperti yang telah dikatakan oleh kerajaan. Inilah sebabnya hari ini, kami melihat sambutan yang sangat baik daripada kerajaan UK dan mesej yang datang daripada Perdana Menteri kami (Keir Starmer) salah satunya adalah, sangat menggembirakan untuk melihat pelaburan Malaysia di UK," kata Ketua Eksekutif Kumpulan YTL UK, Colin Skellett.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran projek pembangunan bandar baharu Brabazon, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Eksekutif YTL Group Tan Sri Francis Yeoh dan Secretary of State for Business and Trade of UK Jonathan Reynolds.
Firma Malaysia, YTL Group mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak £4 bilion (RM21.96 bilion) di United Kingdom (UK) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak £2 bilion akan diperuntukkan untuk pembangunan bandar baharu Brabazon di Bristol, yang merupakan bandar terbesar di barat daya England.
Manakala bakinya akan dilaburkan dalam perniagaan YTL di negara itu.