GOMBAK, 21 September - Masyarakat khususnya golongan muda diseru agar menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) bagi memperkukuhkan keselamatan serta keharmonian komuniti.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim berkata penglibatan aktif komuniti bukan sahaja mampu membantu mencegah jenayah tetapi dalam masa sama mempererat hubungan kejiranan.
“Anggota SRS adalah wira tidak didendang yang sanggup bersengkang mata demi memastikan kediaman penduduk berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya ketika merasmikan Program Jom Ronda SRS dan Kempen “1 Keluarga 1 Anggota SRS” di KRT Taman Seri Gombak A malam tadi.
Menurut Zulkifli, kempen itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil untuk menyertai SRS, sekali gus melahirkan pelapis kepimpinan KRT pada masa depan.
Beliau turut menekankan kepatuhan anggota SRS terhadap undang-undang di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) supaya tidak melampaui kuasa yang diberikan ketika rondaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan JPNIN memperkenalkan konsep Rukun Tetangga Angkat Madani yang melibatkan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menyokong peranan KRT.
“Petronas dan beberapa syarikat besar telah bersetuju untuk menjadi ‘bapa angkat’ kepada KRT terpilih. Sokongan ini akan membantu dari segi latihan, kemudahan serta pelaksanaan program komuniti,” katanya.
Program Jom Ronda SRS antara lain bertujuan memperkasa peranan rondaan sukarela dalam pencegahan jenayah, meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat serta membudayakan semangat kesukarelawanan.