fb fb fb fb fb

SPRM tahan reman seorang penjawat awam, kes rasuah RM16,000

Seorang penjawat awam ditahan reman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000 untuk kelulusan pecah bahagian tanah di salah sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri itu.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Puan Siti Hajar Ali selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor pagi tadi.

Suspek diwakili peguam Jeanne Francis dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Menurut sumber, suspek perempuan berusia lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 2.00 petang semalam di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.

"Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada tiga pemilik tanah di sekitar daerah tersebut yang ingin memohon kelulusan pecah bahagian tanah.

"Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada tahun 2022," kata sumber tersebut.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI