fb fb fb fb fb

SPRM tahan empat lagi individu, bantu siasatan kes kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

ALOR SETAR, 12 Januari- Empat lagi individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Kesemua individu berusia 37 hingga 51 tahun itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, semalam dan hari ini.

Sumber SPRM memaklumkan, kesemua yang ditahan merupakan pengurus dan pemilik syarikat.

Suspek berusia 44 tahun ditahan pada pukul 8 malam tadi dan direman selama lima hari bermula hari ini.

Manakala suspek wanita berusia 38 tahun akan dirakamkan pernyataan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dua lagi individu berusia 37 dan 51 tahun akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk mendapatkan perintah reman.

Semalam, 21 individu berusia 31 hingga 77 tahun ditahan SPRM secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 15 individu ditahan reman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan, manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut SPRM, kesemua yang ditahan dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Ia bagi membolehkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

Kes disiasat dibawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

 

Media Baharu