
PUTRAJAYA, 24 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kewujudan “Mafia Korporat” yang kononnya dikaitkan dengan suruhanjaya itu seperti dilaporkan dalam satu penerbitan antarabangsa baru-baru ini.
- SPRM menafikan dakwaan “Mafia Korporat” dan anggap sumber tuduhan tidak berasas serta tiada akauntabiliti jelas.
- Tuduhan dilihat sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan SPRM.
- SPRM jamin kerjasama penuh dengan PDRM, galak laporan rasmi dan tekad terus membanteras rasuah secara adil.
Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan dakwaan tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas, sekali gus disifatkan sebagai tidak berasas.
SPRM menegaskan tuduhan berkenaan dilihat sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan serta tindakan penguatkuasaan suruhanjaya, khususnya dalam sektor korporat.
Menurut suruhanjaya itu, isu berkenaan merupakan dakwaan lama yang dikitar semula bagi menjejaskan imej serta reputasi institusi penguatkuasaan tersebut.
SPRM menjelaskan semua siasatan dijalankan berasaskan bukti, selaras undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.
Perkara berkenaan kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan fakta dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang.
SPRM turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, penyaluran maklumat melalui saluran sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil, bukan melalui penyebaran maklumat tidak berasas atau perbicaraan media.
SPRM menegaskan kekal komited melaksanakan mandat membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.