JOHOR BAHRU, 14 Februari- Suruhanjaya Pilihanraya, SPR Negeri Johor giat menjalankan taklimat dan latihan kepada 49 ribu 396 petugas di semua pusat penamaan calon, di 56 Dewan Negeri, bermula semalam hingga 24 Februari ini.
Pengarah SPR Negeri, Nor Nekman Jaimon memaklumkan, taklimat dan latihan yang dijalankan itu bagi memastikan kelancaran semasa Hari Penamaan Calon, 26 Februari nanti.
SPR juga katanya telah bersedia diperingkat logistik, terutama pematuhan SOP di premis yang akan digunakan sebagai tempat penamaan calon akan datang.
"Kami telah bersedia dari segi kelengkapan peralatan dan petugas, malah perancangan berkaitan pematuhan SOP juga telah dipersiapkan seperti proses sanitasi awam dan sebagainya,"
"Dalam pada itu, SPR akan meneruskan promosi bagi memastikan golongan pengundi baharu, dapat menerima maklumat berkaitan hari mengundi pada 12 Mac nanti. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan kepada golongan berkenaan," jelasnya selepas menjadi tetamu dalam segmen Cakna Hak Anda Kawan, CHAK di konti Johorfm.
Pilihanraya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 bermula 26 Februari bagi penaman calon, hari mengundi awal pada 8 Mac, manakala hari mengundi dijadualkan pada 12 Mac.