(Projek Aspire Residence di Cyberjaya)
CYBERJAYA, 10 April - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menzahirkan keyakinan projek Aspire Residence di Cyberjaya yang dikategorikan sebagai projek sakit dapat disiapkan dan diserahkan kepada pembeli menjelang bulan September ini.
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata ketika ini projek tersebut telah mencapai sebanyak 93 peratus kemajuan melibatkan tiga blok dan 1,168 unit kediaman.
Menurut beliau, projek tersebut telah diambil alih oleh kontraktor baharu bermula Mei tahun lalu bagi memastikan kelancaran dan disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.
(Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Husam Musa)
"Kita telah dapat menyiapkan dalam tempoh lebih kurang 11 bulan, 30 peratus peningkatan, dari asalnya lebih kurang 60 peratus, sekarang sebahagian rumah ini dah, blok 1 dah 95 peratus, blok 2 sebanyak 93 peratus, blok 3 sebanyak 90 peratus," kata beliau ketika ditemui media di tapak kediaman tersebut, di sini.
Selain daripada status kemajuan kerja pembinaan, jumlah pekerja termasuk pekerja asing yang mencukupi turut membantu kelancaran operasi.
Ketika ini terdapat lebih 500 unit yang masih belum dijual dan SPNB menawarkan harga istimewa bermula RM300,000 bagi rumah berkeluasan 900 kaki persegi.