fb fb fb fb fb

SPM tujuh buah sekolah di Pasir Mas dan Rantau Panjang ditangguhkan pada sidang kedua- KPM

PASIR MAS, 1 Mac- Peperiksaan bagi 708 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tujuh buah sekolah di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan yang terjejas akibat banjir akan ditangguhkan pada sidang kedua, April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagi calon peperiksaan lain, peperiksaan bagi dua kertas yang bermula esok iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada Khamis ini berjalan seperti biasa.

Sekolah terlibat ialah SMK Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, SMU (A) Al Falah dan juga SMU (A) Khairiah, Banggol Setol.

“Sekolah yang kita tutup dulu pusat peperiksaan, mengambil kira tempat itu tiada alternatif. Namun begitu, sekiranya mungkin petang ini paras air semakin tinggi, kita akan maklum kepada pihak sekolah untuk tindakan selanjutnya."

"Apa yang paling penting, calon tidak perlu risau kalau pusat peperiksaan mereka ditutup dan tiada pusat alternatif, akan ada sidang kedua nanti. Sidang kedua akan diadakan pada April, bagi kertas yang terkesan," kata Radzi kepada pemberita selepas meninjau SMK Agama Lati Rantau Panjang, Kelantan.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sempat meluangkan masa bertemu pelajar di SMKA Lati, Rantau Panjang)

Jelas Datuk Dr Radzi, kesemua sekolah berkenaan tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan selepas digenangi air banjir menyebabkan calon dan petugas tidak dapat memasuki sekolah.

Menurut beliau, sekiranya keadaan kembali pulih seperti biasa, calon-calon berkenaan akan menduduki kertas seterusnya pada Isnin depan.

Pendekatan yang sama juga digunakan bagi calon yang sedang menjalani kuarantin akibat jangkitan COVID-19.

Berbeza di Terengganu jelas beliau, kesemua calon SPM akan menduduki peperiksaan seperti biasa esok dan mereka yang terkesan akibat banjir telahpun dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif.

"Mengenai aspek pemakaian ke sekolah, kementerian tidak mewajibkan pemakaian seragam sekolah bagi calon terkesan banjir, namun apa yang lebih penting, mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan tenang untuk menduduki peperiksaan penting," tambahnya.

Menurut Datuk Dr Radzi, pendekatan sama telah dilaksanakan sejak tahun lalu selepas negara terkesan akibat COVID-19 dan menolak kemungkinan akan berlaku soalan bocor.

Di Kelantan lebih 2,000 calon positif atau dikuarantin akibat COVID-19 dan perkara itu akan dipantau dari semasa ke semasa.

Media Baharu