fb fb fb fb fb

SPM Kedah: 13 sekolah terkesan banjir, 454 calon terus duduki peperiksaan ikut jadual

Banjir Kedah / Foto RTM

ALOR SETAR, 28 November -Bilangan sekolah di Kedah yang melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terkesan banjir kekal 13 buah, membabitkan 454 calon setakat Khamis.

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, peperiksaan diteruskan mengikut jadual Lembaga Peperiksaan dengan penyesuaian lokasi mengikut situasi semasa.

“Tiada pusat peperiksaan baharu ditutup dan jumlah calon dipindahkan ke pusat alternatif kekal 290 orang

"Pemindahan itu melibatkan 163 calon dari SMK Jitra ke SMK Bandar Baru Darulaman, serta 151 calon dari SMK Seri Gunong dan SMA Darussaadah yang ditempatkan di SMK Agama Kedah,” menurut kenyataan JPN Kedah.

Selain itu, beberapa calon ditempatkan sementara di asrama sekolah berhampiran selepas kediaman mereka terjejas banjir.

"Seramai 21 calon dari SMK Alor Merah ditempatkan di SMK Tunku Abdul Malik, dua calon dari SMK Convent di SMK Sultanah Asma, tiga calon dari SMK Kepala Batas di SMK Dato’ Syed Omar dan 14 calon dari SMK Tanjung Pauh di SMK Pulau Nyior," tambah kenyataan tersebut.

Jumlah sekolah terkesan banjir turut meningkat kepada sembilan sekolah, manakala 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini beroperasi di seluruh Kedah.

JPN Kedah memaklumkan pemantauan berterusan dilakukan bersama Pejabat Pendidikan Daerah serta agensi keselamatan bagi memastikan keselamatan murid dan kelancaran peperiksaan SPM sentiasa terpelihara.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN