(Siaran media SPA)
PUTRAJAYA, 7 April- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah melaksanakan urusan temu duga mulai 1 hingga 22 Mac 2023, selaras hasrat kerajaan untuk menyegerakan urusan pelantikan tetap Pegawai Perubatan Gred UD43, Pegawai Pergigian Gred UG41 dan Pegawai Farmasi Gred UF41 bagi tahun 2023.
Menurut kenyataan, seramai 9,152 orang calon telah dipanggil temu duga untuk mengisi 4,914 kekosongan, dan seramai 8,193 calon yang hadir temu duga berkenaan.
Jelas SPA, pihaknya telah mengemukakan senarai nama calon yang hadir temu duga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 31 Mac 2023 untuk semakan terperinci bagi memastikan semua calon yang dilantik memenuhi syarat khusus yang ditetapkan oleh KKM.
Syarat khurus itu hendaklah calon yang dilantik kontrak (Contract of Service) di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016, calon telah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara, merupakan lantikan kontrak mulai tahun 2016 hingga 2020, tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak, serta tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap.
"Baki calon yang memenuhi syarat khusus KKM tetapi tidak ditawarkan lantikan tetap pada sesi pengambilan kali ini akan dijadikan calon simpanan.
"Sekiranya terdapat kekosongan jawatan pada masa hadapan, calon-calon simpanan akan dilantik tetap, manakala calon yang tidak memenuhi syarat khusus tidak akan dilantik," menurut kenyataan itu.
Keputusan temu duga berkenaan dijadualkan pada 17 April ini melalui e-mel, hebahan di portal rasmi dan Facebook rasmi SPA, manakala surat tawaran pelantikan tetap melalui Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) akan dikeluarkan pada 2 Mei ini.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Pengambilan SPA menerusi talian 03-8091 9000.
(Foto fail)