KOTA BHARU, 6 Februari- Prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan mengekang penularan COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia berikutan tiada lagi kluster masjid dilaporkan setakat ini.
Menurutnya, disebabkan itu juga, pihaknya mengekalkan SOP terbabit sehingga ke hari ini termasuk akan mengguna pakai SOP sama bagi solat terawih pada bulan Ramadan nanti.
"Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.
"Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP,” katanya.
Oleh itu, tegas Ahmad Marzuk, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kolej Uniti, Kota Bharu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.