LANGKAWI, 21 Februari - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta pemain industri menyambut baik penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
SOP yang berkuatkuasa 16 Februari lalu itu, akan memudahkan pelancong untuk berkunjung ke Langkawi.
Sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong antarabangsa ke pulau pelancongan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sejak LITB dimulakan pada 15 November lalu, hingga hari ini lebih kurang 4,600 pelancong antarabangsa telah ke Langkawi.
Nasaruddin yakin dengan pembaharuan SOP, bilangan pelancong antarabangsa akan bertambah memandangkan ianya lebih memudahkan.
"SOP sebelum ini hanya pada hari kelapan. Setelah tinggal di Langkawi tujuh hari, pelancong boleh ke destinasi lain. Tetapi SOP yang ditambah baik ini, pada hari kelima juga boleh dibenarkan ke destinasi lain setelah ujian PCR COVID-19 terbukti negatif. Jadi ini memberi lebih banyak kemudahan dan keselesaan kepada pelancong-pelancong," kata Nasaruddin ketika ditemui media pada program Tanaman Pokok Bakau sempena World Wetlands Day 2022 di Kubang Badak BioGeotrail, di sini.