fb fb fb fb fb

Solidariti Palestin, Johor serah sumbangan bernilai RM2.5 juta

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 19 November- Kira-kira 5,000 umat Islam membanjiri Masjid Sultan Iskandar Bandar Datuk Onn, Johor Bahru bagi menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin, hari ini.

Rata-rata mereka tiba di perkarangan Masjid seawal pukul 3.00 petang dengan mengenakan pakaian putih dan mafla sebagai tanda solidariti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya berkata kehadiran orang ramai dalam Majlis Bacaan Yaasin, Tahlil dan Solat Hajat Bangsa Johor membuktikan masyarakat memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Palestin.

"Kita menuntut kepada pemimpin-pemimpin dunia agar hak asasi kemanusiaan diberikan kembali kepada mereka.

Kita menuntut supaya maruah dan kedaulatan bumi Palestin kembali kepada mereka. Kita menuntut pembunuhan kejam dihentikan serta merta," kata Onn Hafiz dalam ucapannya, hari ini.

Beliau turut menyeru umat Islam di Johor untuk sentiasa bersatu padu dan bersama-sama mendoakan kesejahteraan saudara di Palestin.

Beliau turut menyerahkan lebih RM2.5 juta untuk disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Kementerian Luar Negeri Malaysia hasil daripada sumbangan tabung masjid dan surau seluruh Johor, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM