KUANTAN, 19 November- Seramai 14 orang pengusaha pelancongan dari Heilongjia, China dibawa mengunjungi destinasi-destinasi pelancongan terkenal di Negeri Pahang.
Program Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) China-Pahang 2023 anjuran Tourism Pahang yang berlangsung sejak 17 November hingga 21 November bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan baru dan sedia ada di negeri tersebut.
Exco Pelancongan Pahang, Leong Yu Man berkata, lawatan itu melibatkan destinasi-destinasi pelancongan di empat daerah iaitu Bentong, Jerantut, Temerloh dan Kuantan.
Destinasi-destinasi pelancongan yang akan dikunjungi merangkumi beberapa kategori kluster pelancongan, antaranya pelancongan taman tema, pelancongan alam semulajadi, pelancongan warisan dan budaya dan 'Gastronomi Tourism'.
Pemilihan destinasi-destinasi ini adalah berdasarkan tahap kebolehpasaran yang tinggi serta mengambil kira kemudahan fasiliti yang memuaskan di setiap destinasi dan kawasan sekitarnya.
Antara destinasi pelancongan yang akan dikunjungi ialah Skyworld Genting Highlands, DSR Orchard Bukit Tinggi, Taman Negara Kuala Tahan, Menara Kuantan 188, Kompleks Tenun Sungai Soi dan Jaman Tory Recipe.
Malah katanya, dalam siri lawatan ini juga, 15 pengusaha hotel dan agensi pelancongan Pahang turut mengambil bahagian dalam sesi perjumpaan bersama pengusaha pelancongan China di Royale Chulan Cherating Villas, sebagai usaha untuk memasarkan Pahang ke pasaran negara tembok besar itu.
Pada tahun lalu, statistik kedatangan pelancong China ke Pahang adalah seramai 78,848 orang dan dijangka terus menunjukkan angka peningkatan pada tahun 2023.