GENTING HIGHLANDS, 19 November- Pahang menjadi negeri pertama memeterai perjanjian persefahaman kerjasama Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh kestabilan politik di negeri itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerjasama tersebut memantapkan lagi komitmen BN dan Pakatan Harapan (PH) serta melancarkan urusan pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus menjadi sumber rujukan masa hadapan.
"Ia lebih kepada untuk kita memastikan supaya persefahaman antara PH dan BN akan menjadi lebih mantap lagi supaya memudahkan perbincangkan kita untuk tindakan lanjut terutamanya dalam politik," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama dengan Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari di sini.
Jelasnya, kerjasama kedua-dua gabungan politik itu terbukti kukuh walaupun diuji dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman dan Pelangai, kemenangan tetap berpihak kepada PH-BN.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor percaya perjanjian itu akan menjadi model kepada bentuk persefahaman yang lain, sekali gus membantu rakyat Pahang memahami dengan jelas hala tuju, perancangan serta komitmen kerajaan negeri itu.
"Secara asasnya kepada Memorandum Persefahaman (MoU), telah pasti kita rujuk bagaimana kerjasama di pusat yang kita hasilkan sebuah kerajaan yang stabil dan kita juga mahukan kestabilan tersebut dapat diwujudkan di Pahang," kata Amirudin.