KUALA LUMPUR, 19 November- Sebuah video tular mengenai seorang guru besar yang terpaksa tinggal di sekolah gara-gara tidak memiliki kediaman di SK Ulu Ansuan, Telupid, Sabah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.
Sehubungan itu, KPM telah mengambil tindakan menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di sekolah tersebut.
"Kerja-kerja pembinaan kini sedang rancak berjalan, melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot.
Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, projek selenggara kuarters pula telah siap dilaksanakan dengan peruntukan RM200,000 untuk kemudahan kediaman guru di sekolah berkenaan," kata kenyataan itu.
Selain itu, pembinaan empat unit kuarters baharu bagi sekolah berkenaan telah diluluskan menerusi pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Kesemua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di sekolah itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.
KPM terus komited untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara, khususnya sekolah yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.