fb fb fb fb fb

Solat hajat buat keselamatan rakyat Palestin esok - Mohd Na'im

 (Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)

KUALA LUMPUR, 5 April- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengajak rakyat Malaysia dan seluruh dunia untuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel terhadap jemaah Palestin yang berada di Masjid Al-Aqsa sehingga menimbulkan kecederaan pada Rabu.

"Tindakan rejim Israel yang menceroboh masjid tersebut adalah biadap dan amat tidak bertanggungjawab. Malah, ia berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan," menurut kenyataan hari ini.

Justeru, demi mendoakan kesejahteraan saudara Islam di Palestin, Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengarahkan masjid-masjid seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan solat hajat pada esok.

Ia melibatkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya serta Masjid Wilayah di ibu negara.

Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk menganjurkan solat hajat pada hari yang sama.

"Bersempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin," katanya.

 (Rejim Israel melakukan kekerasan ke atas jemaah Palestin di perkarangan
Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis hari ini/AFP)

Media Baharu