SEPANG, 4 Oktober - Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) sudah menjangka Israel akan memainkan naratif bahawa misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menegaskan, tuduhan itu tidak berasas kerana sejak awal, segala perkembangan berkaitan penghantaran bantuan telah dikongsi secara terbuka melalui media sosial rasmi GSF dan Sumud Nusantara.
“Kita di peringkat Sumud Nusantara menafikan sekeras-kerasnya dan kita sudah menjangkakan naratif ini akan dimainkan untuk menunjukkan bahawa perjalanan ini adalah untuk membangkitkan gelombang dunia,” katanya.
Menurut beliau, bantuan tambahan turut dihantar pada peringkat akhir oleh Agensi Bulan Sabit Merah Turkiye (Kizilay) menggunakan kapal tentera laut negara itu, namun kapal terakhir Johnny M tidak dapat meneruskan pelayaran selepas dimasuki air hingga separuh karam.
Tambahnya lagi, sejak berlepas dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta, flotila membawa pelbagai bentuk bantuan dengan bukti bergambar yang telah dikongsi.
Fokus utama ketika ini, jelasnya, adalah memastikan keselamatan 495 peserta yang kini ditahan Israel.
“Misi ini ditahan tanpa sebab munasabah. Delegasi kita memberikan kerjasama penuh dan rakaman CCTV secara langsung membuktikan tiada sebarang pergerakan mencurigakan yang boleh menggambarkan kita membawa ancaman,” katanya.
Datuk Dr Sani Araby turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak terperangkap dengan naratif songsang Israel.
“Jika kita terlalu fokus kepada persoalan ‘bantuan pergi ke mana’, kita sudah bawa naratif pesong sedangkan isu sebenar ialah pencabulan hak kemanusiaan oleh Israel,” tegasnya.