fb fb fb fb fb

iRandau 2025 angkat tradisi Orang Ulu ke persada antarabangsa

FOTO RTM

BELAGA, 4 Oktober - Tradisi dan warisan Orang Ulu kini diangkat ke persada antarabangsa melalui Simposium Antarabangsa iRandau 2025 yang berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara sejak 1 Oktober lalu. Program ini memberi tumpuan kepada bidang sains sosial, ekonomi serta teknologi.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata iRandau kini bukan sekadar tradisi di rumah panjang, malah menjadi identiti budaya serta tarikan pelancongan global.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar demi masa depan rakyat Sarawak.

“iRandau 2025 membuktikan masyarakat luar bandar berpeluang menceburi bidang keusahawanan digital, penciptaan kandungan serta kepimpinan komuniti,” katanya.

Majlis perasmian dan penutupan simposium yang berlangsung di Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga, pada Jumaat turut diserikan dengan kehadiran tokoh akademia, wakil rakyat serta pemimpin komuniti.

Anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi, simposium ini sejak 2019 terus berkembang sebagai platform ilmu dan penyelidikan, selain mengukuhkan hubungan antara akademia, komuniti dan dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE