fb fb fb fb fb

SKSSR iktiraf peranan suri rumah terhadap pembangunan negara

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Hampir 150,000 suri rumah sudah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setakat hujung bulan lalu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata sejak SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu hingga 31 Januari lalu, 141,144 suri rumah sudah mencarum di bawah skim itu yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 135,281 adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana caruman SKSSR ditaja kerajaan selama setahun menerusi peruntukan Bajet 2022.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

"Sebenarnya golongan suri rumah ini sangat membantu dalam pembangunan ekonomi negara.Suami, abg ataupun ayah, mereka keluar untuk mencari rezeki untuk keluarga tetapi pada masa sama, suri rumah dan berada di rumah, mereka memastikan segala urusan rumah tangga dijaga," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Tambah Sivakumar, jumlah itu dilihat sebagai perkembangan positif dan selaras dengan matlamat Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan PERKESO yang menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 daripada kira-kira tiga juta suri rumah di negara ini mencarum dengan SKSSR tahun ini.

SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Media Baharu