KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pengguna domestik dan perusahaan mikro kini boleh mengoptimumkan penggunaan dan penjimatan elektrik menerusi pelaksanaan skim Time of Use (TOU), bermula 1 Julai.
Pelaksanaan itu susulan pembaharuan struktur tarif negara, yang turut mengekalkan perlindungan kepada golongan B40 melalui rebat RM40 sebulan.
Pengarah Jabatan Kawal Selia Ekonomi, Suruhanjaya Tenaga (ST), Marlinda Mohd Rosli menjelaskan perluasan skim tersebut membolehkan pengguna membuat pilihan lebih bijak dan menjimatkan dalam penggunaan harian.
"Skim berkenaan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam mengurus penggunaan elektrik harian. Pengguna yang menggunakan tenaga tinggi dalam tempoh luar puncak iaitu antara pukul 10 malam sehingga 2 petang boleh memilih untuk menyertai skim ini dan menikmati kadar tarif yang lebih rendah.
"Kadar luar puncak turut diperluaskan kepada hari Sabtu dan Ahad, berbeza dengan struktur terdahulu yang mengenakan kadar seragam setiap hari." katanya ketika ditemubual wartawan hari ini.
Skim TOU membolehkan pengguna menjadualkan aktiviti penggunaan tinggi seperti memasak, mencuci atau operasi perniagaan kecil-kecilan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar lebih rendah.
Pengguna perlu berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membandingkan kadar dan mendaftar.
Skim TOU sebelum ini hanya ditawarkan kepada pengguna industri dan komersial kini diperluaskan kepada pengguna domestik yang memiliki meter pintar.
Ia memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik mengikut kadar masa tertentu, sekali gus mengurangkan kos penggunaan tenaga.
Penstrukturan semula tarif turut memperkenalkan elemen ketelusan dalam bil elektrik, dengan pecahan caj tenaga, kapasiti, grid dan runcit yang lebih jelas.
Langkah ini bertujuan menggalakkan pengguna lebih sedar terhadap pola penggunaan masing-masing dan mengamalkan kecekapan tenaga.
Suruhanjaya Tenaga juga terus memainkan peranan strategik melalui penguatkuasaan Akta 861, pelaksanaan pelabelan kecekapan tenaga (MEPS), pengurusan mekanisme rebat dan surcaj (ICPT), serta pelaksanaan audit tenaga bagi sektor industri dan kategori pengguna khas (KPS).
Struktur baharu ini disifatkan sebagai lebih adil, responsif dan inklusif, selaras dengan matlamat nasional untuk memastikan sektor tenaga berkembang secara mampan sambil memelihara kebajikan rakyat.