fb fb fb fb fb

Skim gaji guru TABIKA KEMAS, distruktur semula selaras kelulusan, pengalaman

(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan
Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

PUTRAJAYA, 31 Mei- Skim tangga gaji bagi 10,174 tenaga pengajar Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan distruktur semula agar selaras dengan kelulusan dan pengalaman mereka.

Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu akan dibincang dan diperincikan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.


(Kanak-kanak tabika KEMAS mengalunkan selawat pada sesi libat urus Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS Bersama Masyarakat 2023 yang disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)

"Oleh kerana skim ini adalah skim yang tidak berasaskan kepada kelulusan, maka ramai tertakluk kepada skim itu. Maka tidak adil yang berasaskan kepada kelulusan dan pengalaman sedia ada tidak diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan.

"Kami akan berisytihar untuk membincangkan dan memperincikan dengan pihak JPA sendiri dan juga pihak MoF agar bukan saja skim tapi dari segi produktiviti dan jumlah pelajar murid yang ada, kita akan lakukan penstrukturan dalam perkara ini", katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Sesi Libat Urus Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS di Putrajaya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata menerusi program itu, pihaknya menyasarkan 100,000 huffaz cilik dilahirkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

KEMAS turut mensasarkan penglibatan lebih 1,500 kanak-kanak bimbingannya mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha dalam persiapan ke Tahun Satu menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini.

Setakat ini jumlah TABIKA KEMAS seluruh negara adalah sebanyak 10,701 buah membabitkan 216,322 orang murid.

Media Baharu