fb fb fb fb fb

SK Kujang Mawang berwajah baharu

FOTO FB JKR SARAWAK

SERIAN, 9 Oktober – Sekolah Kebangsaan (SK) Kujang Mawang di Tebedu kini berwajah baharu selepas siapnya projek pembangunan semula di bawah program Sekolah Daif Fasa 3 yang dibiayai melalui peruntukan RM1 bilion Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan, majlis penyerahan projek siap itu telah diadakan pada Isnin lalu, dan disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha (SWK), Bahagian Pembangunan KPM, Encik Mohd Zahreen Mohd Zailani.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Encik Nawi Haji Razali, Penolong Jurutera Bahagian (Sektor Pembangunan), Encik Nelson anak Albert Bantang, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, serta Guru Besar SK Kujang Mawang, Puan Polia Anak Nisoy.

JKR Sarawak menjelaskan, skop projek meliputi pembinaan blok pentadbiran tiga tingkat, blok bilik darjah empat tingkat, serta blok prasekolah bagi menyediakan ruang pembelajaran yang lebih moden dan kondusif.

Selain itu, kemudahan asrama lelaki dan perempuan lengkap dengan dewan makan, tiga blok barak enam unit, tangki air bertingkat, tiga pusat depo sampah, serta pondok pengawal keselamatan turut dibina bagi memenuhi keperluan warga sekolah.

Projek berkenaan juga dilengkapi dengan sistem perparitan moden serta kemudahan elektrikal dan mekanikal bagi memastikan operasi sekolah berjalan dengan lancar dan selamat.

“Dengan siapnya projek ini, inisiatif pembangunan semula SK Kujang Mawang bukan sahaja meningkatkan tahap kemudahan pendidikan, malah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar serta memperkukuh kualiti pendidikan di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD