TANAH MERAH, 25 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan peribadi kepada seorang pelajar asnaf, Siti Zulaikha Anuar bagi menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Sumbangan itu disampaikan Pengerusi MyMadani Tanah Merah Wan Ibrahim Wan Yusof di rumah Siti Zulaikha di Kampung Bukit Gading, di sini.
Wan Ibrahim berkata, sumbangan diberikan selepas Perdana Menteri menerima surat permohonan bantuan bagi urusan persiapan dan kemasukan ke universiti daripada pelajar tersebut.
Katanya, Anwar berharap agar Siti Zulaikha dapat meneruskan pelajarannya di peringkat Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurutnya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantunya yang akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum mendaftar masuk pada 27 September nanti.
"Saya selaku mewakili Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor yang diarahkan oleh Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan kepada pelajar kita hari ini Siti Zulaikha. Saya difahamkan Siti Zulaikha ada menghantar surat terus kepada PM meminta sumbangan untuk beliau menyambungkan pelajaran di UIA," kata Wan Ibrahim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bantuan sebanyak RM2,000 kepada Siti Zulaikha di rumahnya, di sini.
Sementara itu, Siti Zulaikha menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menghulurkan sumbangan peribadi agar dia dapat melanjutkan pelajaran.
Katanya, dia kini dalam persiapan terakhir dan dijangka akan bertolak ke Kuala Lumpur keesokan hari sebelum mula mendaftar pada 27 September nanti.
Siti Zulaikha akan melajutkan pelajaran diperingkat Sarjana Muda Pendidikan Dalam Bimbingan Kaunseling (Kepujian) UIAM, Gombak.