fb fb fb fb fb

Sistem tol ANPR di lebuh raya PLUS bermula Oktober

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 7 Ogos - Satu sistem inovatif pembayaran tol terbuka berasaskan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) bakal dilaksanakan secara berperingkat di lebuh raya PLUS bermula Oktober ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem ini merupakan langkah ke arah mewujudkan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi menjamin kelancaran aliran trafik, di samping memudahkan pengguna.

Menurut beliau, melalui platform digital bersepadu, pengguna boleh melalui mana-mana lorong tol tanpa henti dengan pilihan pelbagai mod pembayaran digital, semakan transaksi dan paparan e-invois.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian tanpa sebarang caj, dengan pelaksanaan rintis di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua sebelum diperluaskan ke seluruh PLUS.

"Bayaran dia tanpa tol, tanpa kereta berhenti. Kenderaan jalan sahaja tanpa henti, tanpa gangguan perjalanan. Bila nombor plat dibaca, automatik akaun akan ditolak kadar tol. Boleh guna pelbagai akaun, bukan satu akaun sahaja. Dia jalan terus, tiada palang. Jadi kenderaan boleh bergerak laju dan lancar. Dari segi kelancaran, peratusannya belum dimuktamadkan kerana ini masih di peringkat awal. Kita akan kaji dari semasa ke semasa.

"Mungkin selepas sistem MLFF beroperasi sepenuhnya, baru kita dapat lihat data sebenar tentang kadar kelancaran atau pengurangan kesesakan di plaza tol,"jelasnya.

Beliau menyatakannya kepada media selepas meninjau pelaksanaan sistem tersebut di Ibu Pejabat PLUS di Persada PLUS di sini.

Sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan inisiatif bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

MASNIZA AWANG KECHIK