LONDON, 3 Jun- Malaysia giat membangunkan sistem pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diselaras serta diiktiraf merentas sempadan, bagi memperkasa mobiliti tenaga mahir sekali gus mengiktiraf kemahiran secara menyeluruh dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Perkara itu bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju serantau dan antarabangsa dalam bidang TVET, seiring komitmen negara memperkasa modal insan berkemahiran tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pengiktirafan TVET sebagai laluan pendidikan utama yang berprestij dan berdaya saing di peringkat global.
"Justeru, saya menyeru anda semua untuk menyumbang bukan sahaja sebagai graduan, tetapi juga sebagai rakan kerjasama. Bekerjasamalah dengan kami untuk membangunkan piawaian latihan antarabangsa.
"Kongsikan ilmu anda dengan membimbing para pelajar dan pelatih TVET. Sokong usaha penyelidikan bersama dengan institusi-institusi di Malaysia. Paling penting, bantu kami membina hubungan strategik antara industri di United Kingdom dan ekosistem TVET Malaysia untuk membuka laluan baharu kepada kerjasama, inovasi dan pengiktirafan di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Program Syarahan TVET anjuran University College London (UCL) di sini yang menghimpunkan pelajar Malaysia serta wakil institusi pendidikan dan industri dari dalam dan luar negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia turut memeterai beberapa kerjasama strategik dengan institusi dari China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom sebagai sebahagian usaha membina ekosistem TVET global.
Kerjasama itu merangkumi latihan industri bernilai tinggi, penyelidikan bersama serta pendedahan kepada teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan, tenaga hijau dan automasi industri.
Setakat ini, lebih 436,000 pelajar telah mendaftar dalam program TVET di seluruh negara sekali gus menunjukkan peningkatan minat terhadap bidang berasaskan kemahiran tersebut.