SERDANG, 2 Mei - Isu yang dibangkitkan dalam Laporan Bank Dunia berhubung sistem pendidikan negara, telah berjaya ditangani secara progresif dan proaktif Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementerian giat menjalankan inisiatif bagi memenuhi hala tuju dan agenda reformasi pendidikan negara.
"Saya ingin menegaskan bahawa kita di peringkat KPM lebih awal mengumumkan reformasi pendidikan. Pertamanya dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti isu-isu dan melaksanakan reformasi ini dengan segera.
"Sebagai contoh jawatankuasa prasekolah berkaitan dengan intervensi kokurikulum, pembudayaan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), digital dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kita akan bekerja keras untuk memastikan semua jawatankuasa ini bergerak mencapai mutu dan kualiti pendidikan yang kita mahukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan syarahan pada program Distinguished Lecture Series on Youth Well-Being (DLS), di sini.
Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills antara lain menyatakan tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan meskipun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan negara.