Sistem audit dinamik mampu tutup ruang ketirisan – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)/Foto RTM

PUTRAJAYA, 26 Januari – Ketirisan boleh dielakkan sekiranya sistem audit dilaksanakan secara dinamik dan sentiasa ditambah baik, termasuk menutup ruang kelemahan yang boleh membuka peluang kebocoran serta melambatkan tindakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem audit dinamik dan sentiasa dipertingkatkan mampu menutup ruang kelemahan yang membawa kepada ketirisan.
  • Pendekatan audit mesti berubah mengikut masa untuk mempercepat proses pembaikan dan mencapai kemajuan negara.
  • Pasukan audit perlu sentiasa menilai dan mengesan titik lemah serta memastikan pegawai berada pada landasan betul.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan audit tidak boleh kekal dengan pemikiran dan tahap lama kerana keadaan itu akan menyebabkan proses pembaikan menjadi perlahan, sedangkan negara perlu bergerak lebih pantas untuk mencapai tahap kemajuan yang membanggakan.

“Berkaitan penyelidikan dana, penyelenggaraan kuasa serta isu ketirisan dan kelewatan, negara mesti diselamatkan melalui sistem kawalan kualiti yang menyeluruh.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, ruang yang seluas-luasnya diberikan kepada semua jabatan untuk menambah baik sistem, selagi tertakluk kepada peraturan, tanggungjawab dan bidang kerja masing-masing.”

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri turut menekankan keperluan pasukan audit yang sentiasa menilai ruang penambahbaikan, khususnya dalam mengesan titik lemah yang memungkinkan ketirisan berlaku.

Selain itu, beliau mengingatkan jabatan berkenaan supaya melangkah lebih tegas dan berani, di samping memastikan pegawai berada pada landasan yang betul serta menggerakkan seluruh kekuatan bagi membawa perubahan yang diperlukan.