fb fb fb fb fb

Sisa buangan dijangka meningkat 20% menjelang Aidilfitri

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 28 Mac - SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menjangkakan peningkatan jumlah janaan sisa sekitar 20 peratus menjelang Aidilfitri nanti.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan peningkatan data yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihaknya tampil dengan jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal  sehari awal di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula 6 hingga 9 April depan.

"Sebab itu kalau kita tengok 6 hingga 9 April kita jangkakan ketiga-tiga tarikh ini adalah hari dimana jangkaan akan meningkatnya janaan sisa. Sebab masing-masing memerlukan operasi atau membuat persediaan khususnya sisa-sia dapur, makanan dan juga sisa pukal. 

"Mungkin masa tempoh tiga hari ini ada yang melaksanakan atau membuat persediaan dan pembersihan rumah dan menukarkan perabot dan sebaginya jadi tempoh tiga hari ni sangat praktikal," kata Mohd Norlisam kepada pemberita dalam sidang media Operasi SWM Environment Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media, di sini.

Seramai 4,500 anggota bersama-sama 580 buah jentera akan bertugas sepanjang tempoh anjakan berkenaan.

Sementara itu, SWM Environment juga akan memberi tumpuan khas kepada 175 lokasi berkepadatan penduduk umat Islam pada 1 Syawal dengan melibatkan 20 peratus anggota akan bertugas sempena cuti umum itu.

Antara lokasi berkenaan termasuk Tampoi, Kempas, Larkin, Bandar Tenggara dan lain-lain. 

Pihaknya memohon kerjasama daripada masyarakat agar tidak meletakkan sebarang halangan di sepanjang laluan atau berhampiran tong sampah bagi memastikan kelancaran operasi kutipan.

TETITIA YUSOFF