fb fb fb fb fb

SiPKPM, tangani isu keciciran pelajar sekolah - KPM

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Sistem Pengesanan Murid Kementerian Pendidikan Malaysia (SiPKPM) dilaksana bagi menangani isu keciciran pelajar di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, sistem itu turut mengenal pasti murid berisiko cicir dan punca keciciran, termasuk faktor jarak dan kemiskinan, bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan.

"Dalam sistem pengesanan ini, terdapat dashboard yang dikemas kini secara berterusan. Menerusi Sistem SIPKPM, penilaian dibuat berdasarkan beberapa indikator utama termasuk kehadiran murid, pencapaian akademik, salah laku disiplin, jarak rumah, pendapatan isi rumah, status ibu bapa, status OKU dan sebagainya.

Melalui dashboard ini, kita dapat mengenal pasti jumlah murid yang berada dalam kategori berisiko sederhana dan berisiko tinggi untuk tercicir. Berdasarkan maklumat tersebut, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah akan melaksanakan pelbagai program intervensi," kata Kah Woh di Parlimen, hari ini.

Selain itu, kemudahan asrama harian dan Asrama Desa, Program Outreach Murid Cicir dan pasukan petugas khas intervensi turut dilaksana bagi menangani isu tersebut.

Berdasarkan data SiPKPM setakat 22 Oktober, kadar keciciran murid di sekolah rendah adalah 0.05 peratus manakala di sekolah menengah adalah 0.59 peratus.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan wakil Selayang, William Leong Jee Keen.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM