Sipitang, Sook dan Beaufort daerah terbaharu dilanda banjir

Proses pemindahan penduduk terjejas giat dijalankan – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 25 Februari – Sipitang, Sook dan Beaufort daerah terbaharu dilanda banjir di Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga pusat pemindahan sementara dan satu pusat pemindahan kekal dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.
  • Pusat pemindahan di Sipitang, Sook dan Beaufort diaktifkan, dengan pemindahan penduduk masih dijalankan pagi ini.
  • Keadaan di Pitas kekal kritikal dengan 1,695 mangsa dari 861 keluarga berlindung di lima PPS.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) dibuka di kawasan terjejas.

Di Sipitang, dua PPS dibuka di Dewan Kecil Mesapol dan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah, manakala Dewan SLDB Dalit Gana beroperasi Sook.

Di Beufort pula, PPK Selagon turut diaktifkan bagi menempatkan penduduk terjejas.

“Pemindahan penduduk yang terjejas ke PPS dan PPK masih dilakukan pada pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Sipitang dan Beaufort adalah daerah di pantai barat Sabah terletak arah Barat Daya dari Kota Kinabalu, manakala Sook merupakan daerah di pedalaman Sabah.

Sementara itu, situasi banjir di Pitas tidak berubah dengan 1,695 orang daripada 861 keluarga masih berlindung di lima PPS setakat pagi ini.