fb fb fb fb fb

Sindiket bekal PATI guna pelekat palsu PLKS tumpas

KUALA LUMPUR, 7 April - Satu sindiket membekal pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berjaya ditumpaskan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, sindiket itu didalangi oleh warga asing.

Operasi dijalankan pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta dibantu anggota dari Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya.

"Pasukan operasi telah menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor serta pejabat operasi sindiket yang terletak di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan tersebut 65 orang PATI ditahan, melibatkan 43 orang lelaki warganegara India, 20 lelaki warganegara Bangladesh dan dua lelaki warganegara Pakistan yang berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun," kata Ruslin.

Dalang utama sindiket seorang lelaki warganegara India turut berjaya ditahan.

Hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat tulen.

(Sindiket akan mengenakan bayaran RM6000 untuk setiap
pekerja warga asing yang mahu mendapatkan PLKS)

"Hasil soal siasat dan pengakuan daripada suspek ini, pasukan operasi telah bergerak ke Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warganegar aBangladesh yang merupakan orang kanan sindiket. Semakan mendapati suspek yang berusia 30 tahun ini menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini," katanya.

Modus operandi sindiket dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja.

"Sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing yang telah diberikan pelekat PLKS palsu, supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja yang sah berdasarkan pelekat yang tertera di pasport," katanya lagi.

Sindiket akan mengenakan bayaran RM6000 untuk setiap pekerja warga asing yang mahu mendapatkan PLKS, sementara majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan.

Hasil kegiatan haram itu, sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

Media Baharu