KEPALA BATAS, 19 November- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghimpunkan pakar dalam dan luar negara bagi menggariskan strategi bagi memperkasa industri bioteknologi dalam satu simposium.
Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ts Dr Aminuddin Hashim berkata, peluang itu penting bagi mendapatkan input dengan penglibatan industri untuk mengetahui keperluan terkini ke arah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dalam tempoh lima tahun lagi.
Simposium berkenaan juga dilihat sebagai satu medium untuk menghubungkan industri di peringkat global.
"Harapan kita ialah supaya 130 orang pakar dapat bersama-sama dengan kita ini untuk menggariskan beberapa strategi dalam sektor bioteknologi. Pertamanya mungkin isu- isu yang perlu kita cadangkan kepada kerajaan untuk RMK-13, isu-isu terkini dan juga mereka dapat bertukar kepakaran antara satu sama lain.
"...kerana yang hadir ini bukan sahaja daripada akademia MOSTI ada juga daripada akademik universiti-universiti dan juga yang penting mendapat penyertaan daripada industri," katanya.
Beliau berkata berdemikian dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Bioteknologi Peringkat Kebangsaan 2024 di sini.
Simposium anjuran National Institute of Biotechnology Malaysia (NIBM) berlangsung selama dua hari berakhir esok.
Simposium itu merupakan platform memupuk dialog, meneroka peluang dan membina kerjasama bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri bioteknologi khususnya perubatan herba dan botani.