KUALA TERENGGANU, 19 November- Seramai 212 penduduk terjejas banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 11.00 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, empat daerah terjejas iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu.
Di Kemaman tiga PPS dibuka iaitu di Balai Raya Meraga Beris, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan serta Sekolah Kebangsaan Kemasek yang menempatkan keseluruhan 74 penduduk terjejas banjir daripada 18 keluarga.
Daerah Hulu Terengganu pula menempatkan 53 penduduk terjejas banjir yang berlindung di tiga PPS iaitu di Balai Rraya Kampung Kemat, Kampung Cheting serta Kampung Bukit Kolam.
Sementara itu satu PPS pula dibuka di daerah Setiu iaitu asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Langkap yang menempatkan 49 penduduk terjejas banjir.
Manakala Marang pula 13 penduduk kini ditempatkan di Dewan Sivik Wakaf Tapai.
Ketika ini hujan masih lagi berlaku di semua daerah dan dijangka lebih ramai penduduk terjejas banjir akan dipindahkan ke PPS.