SEPANG, 19 November- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus memperkukuh kedudukan sebagai hab penerbangan moden, efisien dan mampan melalui Sistem Kerjasama Pembuatan Keputusan Lapangan Terbang (A-CDM).
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, inisiatif itu membolehkan perkongsian data masanyata antara pihak berkepentingan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kelewatan.
Ia termasuk mengurangkan masa menunggu di landasan, meningkatkan kepuasan pelanggan, dan mempertingkatkan produktiviti pengendalian darat.
"Platform ini akan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kelewatan, dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, memastikan KLIA kekal sebagai pintu masuk pilihan untuk pelancong di seluruh dunia.
"Kecekapan operasi melalui pelaksanaan A-CDM ini akan membawa kepada pengurangan yang signifikan dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Inisiatif Sistem Kerjasama Pembuatan Keputusan Lapangan Terbang (A-CDM) Kuala Lumpur di sini.
Sistem itu juga dilihat akan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon, selaras dengan komitmen Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).