DUNGUN, 20 November- Penerima Anugerah Naib Canselor, Mohd Fahridzal Hashim, 49, membuktikan usia bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian dan mencapai kecemerlangan.
Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Perniagaan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Cawangan Terengganu, sekali gus menyarung selempang kebanggaan graduan cemerlang, 'selempang pink.'
Mohd Fahridzal mendedahkan rahsia kejayaannya adalah dengan memberikan tumpuan penuh semasa sesi kuliah serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, bukan sahaja dalam peperiksaan, tetapi juga dalam kerjaya.
Namun, perjalanan beliau bukan tanpa cabaran. "Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mod pengajian berubah kepada dalam talian, dan saya perlu menyesuaikan diri. Agak mencabar, tapi alhamdulillah, saya berjaya harunginya," katanya kepada RTM pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 baru-baru ini yang berlangsung pada 13 hingga 12 Disember depan.
Selain itu, beliau turut berbangga dengan semangat persahabatan yang ditunjukkan rakan sekelasnya yang jauh lebih muda. "Mereka sentiasa membantu, tidak pernah memandang saya sebagai orang berusia. Mereka terima saya seadanya,” tambah beliau.
Mohd Fahridzal menjadikan prinsip "tanpa usaha, kejayaan tidak akan datang" sebagai pegangan hidupnya dan kisah beliau menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin melangkah jauh tanpa menjadikan usia sebagai alasan.